Tuesday, November 6, 2007

Second Wave Of The Politics Of Development

Sarawak alami pembangunan lebih pesat 2020-2030 Oleh Anthony Aga
SARIKEI: Negeri Sarawak bakal menyaksikan perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih pesat dari tahun 2020 hingga 2030, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Secara amnya, pembangunan negara dijangka memuncak sejajar dengan pencapaian status negara maju menjelang 2020, namun Sarawak memerlukan masa yang lebih panjang berbanding negeri-negeri lain, kata Taib.
Sehingga kini, katanya, hanya sebahagian kecil potensi Sarawak telah dieksploitasi atas dua sebab utama iaitu saiz negeri yang besar menyebabkan masa lebih lama untuk menyediakan infrastruktur dan struktur populasi Sarawak yang bertaburan.
“Potensi terbaik masih belum diterokai untuk menjadi asas bagi mengeksploitasi potensi ekonomi yang masih kaya di negeri Sarawak,” kata Taib ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi projek Central Oil Distribution Terminal (CODT) di Tanjung Manis dekat sini, pagi semalam.
Beliau memberi contoh, kekayaan sumber tenaga yang merupakan asas terpenting bagi menjana perkembangan industri kini masih dalam peringkat awal penerokaannya.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan mencorak strategi pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan tempatan,” jelas beliau sambil menambah, koridor pembangunan untuk negeri Sarawak adalah berbeza berbanding negeri-negeri lain.
“Memandangkan program pembangunan ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini, khususnya sektor pertanian sudah mula membuahkan hasil, kita perlu menumpukan perhatian kepada langkah-langkah yang perlu diambil seterusnya,” kata Taib.
Maka atas kesedaran itu, tambahnya, kerajaan kini membawa rakyat ke arah pembangunan gelombang kedua.
“Arus pembangunan baru memerlukan banyak kemudahan termasuk bagi menampung keperluan yang lebih kompleks seperti pemprosesan,” ujarnya.
“Sehubungan itu, kita perlu membuat perancangan yang rapi agar program pembangunan gelombangan kedua dapat dilaksanakan dengan lancarnya.”
Sementara itu, beliau menyifatkan perlaksanaan projek CODT di Tanjung Manis adalah satu persediaan dan langkah bijak oleh pengusaha-pengusaha yang terlibat bagi meneruskan kejayaan yang dicapai menerusi program-program yang dilaksanakan sebelum ini.
“Kita yakin CODT Tanjung Manis mampu memperhebatkan pembangunan ekonomi di Wilayah Tengah termasuk Sibu, Mukah, Sarikei dan lain-lain, sepertimana CODT pertama di Senari, Kuching yang telah menyediakan perkhidmatan bagi menyokong pembangunan di kawasan Kuching dan Samarahan, malah wilayah Kalimatan Barat,” jelasnya lagi.
CODT Tanjung Manis juga akan membantu dalam mengurangkan kos pengangkutan yang dijangka meningkat dari semasa ke semasa, kata Taib.
Projek tersebut yang melibatkan pelaburan sebanyak RM300 juta adalah projek usahasama Assar Senari Group, Pusaka, Petronas Dagangan Bhd. dan Shell Timur Sdn Bhd.
Ia dibangunkan di kawasan seluas 135 ekar dan dijangka siap serentak dengan penyiapan projek jalan raya Sibu/Tanjung Manis pada akhir 2009.
Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan, Tan Sri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undang Negeri Dato Sri Asfia Awang Nasar, Menteri Kewangan II dan Menteri Pembangunan Bandar dan Pelacongan Dato Sri Wong Soon Koh, Pengurus Besar Pusaka Datu Len Talif Salleh, Pengerusi Assar Senari Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wilson Baya Dandot.

No comments: