Wednesday, October 3, 2007

Berita Ka Patut Nyadi Teladan Raban Kitai Nguan Menua Sarawak

Selamat Datai" Ke Pasar Tamu Iban Di Pasir Gudang

Oleh Frank Julian Martin

JOHOR BAHARU, 3 Okt (Bernama) -- Sekumpulan daripada masyarakat Iban di sini telah melakar sejarah mereka sendiri dengan membuka pasar tamu atau pasar tradisional Iban yang pertama di luar Sarawak.

Bermula Mac lalu, pasar tamu yang dibuka setiap pagi minggu di Jalan Bayan 31, Taman Megah Ria di Pasir Gudang menawarkan pelbagai jenis sayuran dan barangan untuk dijual.

Di antara sayuran hutan yang dijual di pasar tamu yang bermula seawal 6.30 pagi itu ialah 'paku ikan' dan 'kemiding' yang merupakan paku-pakis yang boleh dimakan.

Yang lain ialah 'tubu' (rebung), 'kantuk rampu' (daun mentimun), 'rampu betu' (mentimun Iban), 'ensabi' (sawi Iban), 'daun sabung', umbut kelapa dan kulat sawit.

Terdapat juga pekasam ikan, ruas, kuih sarang semut, kuih "cuan", belacan Bintulu serta ikan terubuk masin dan ulat mulong.

Lantaran, anda mungkin merasakan sedang berada di satu bandar kecil di Sarawak apabila menjejakkan kaki ke pasar tamu yang beroperasi di kawasan letak kereta di belakang lot kedai di kawasan perumahan tersebut.

LARIS

Barangan yang dijual sangat laris, apa tidaknya apabila lebih 8,000 orang pengunjung khasnya masyarakat Iban dari seluruh negeri datang untuk membeli-belah.

Ada yang datang dari Mersing, Batu Pahat, Pontian, Teluk Ramunia dan Kluang, malah ada yang tiba seawal 5.30 pagi kerana khuatir barangan habis dijual.

Malah, hampir kesemua 64 orang penjaja yang berniaga di situ sudah boleh goyang kaki atau pergi minum di kedai kopi pada pukul 9.00 pagi kerana barangan mereka sudah habis dijual.

"Siapa yang lambat datang mungkin kehampaan kerana tidak dapat membeli barangan dapur yang mereka mahu," kata pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP) cawangan Johor Jaya, Mathiew Usun.

Kata beliau, penjaja boleh memperoleh beberapa ratus Ringgit dalam beberapa jam sahaja hasil jualan sayur-sayuran mereka.

PERSATUAN

Melihat pasar tamu tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, para penjaja yang terlibat telah menubuhkan Persatuan Penjaja, Peniaga dan IKS Borneo (Persada Borneo) bagi menjaga kepentingan mereka.

"Persatuan ini ditubuhkan untuk menjaga kepentingan penjaja seperti mengenalpasti bantuan yang boleh kita dapatkan daripada kerajaan, menjamin peluang perniagaan, membantu mendapatkan lesen dan sebagainya," kata pengerusinya John Chendang.

Beliau berkata persatuan itu juga cuba mendapatkan peluang-peluang yang lain yang mungkin diwujudkan oleh Wilayah Pembangunan Iskandar.

Katanya, terdapat lebih 30,000 orang masyarakat Iban di sekitar Pasir Gudang dan beberapa ribu lagi di merata tempat di seluruh Johor dan pasti di kalangan mereka ingin menceburi pelbagai jenis perniagaan lain termasuk bidang industri kecil dan sederhana (IKS) di WPI suatu hari ini.

"Di sini peranan kita adalah cuba untuk mengenalpasti peluang-peluang tersebut agar masyarakat Iban yang sudah berhijrah ke negeri ini sejak lebih 20 tahun lalu mendapat manfaat daripada WPI," katanya.

Katanya, ramai di kalangan masyarakat tersebut menganggap diri mereka sebahagian daripada penduduk Johor malah telah membeli rumah sendiri di negeri ini.

LESEN

Pada masa ini kesemua penjaja yang terlibat masih belum mempunyai lesen untuk berniaga di tempat tersebut dan usaha sedang dilakukan bagi mereka mendapatkan lesen daripada Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB).

Lebih daripada 80 orang penjaja daripada kaum Iban serta lima Melayu, tiga Cina dan dua India telah memohon lesen melalui persatuan tersebut.

"Kita telah mengemukakan borang permohonan lesen kepada MBJB dan berharap ia dapat diluluskan dengan segera," katanya yang juga pengerusi PPP cawangan Plentong II.

Ahli Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, Abdul Rahim Abdul Latiff yakin usaha masyarakat Iban membuka pasar tamu tersebut akan diterima baik oleh masyarakat tempatan.

"Tidak ada masalah dari segi penerimaan masyarakat tempatan. Kita rasa usaha ini akan merancakkan lagi ekonomi tempatan," katanya.

Katanya, penjaja-penjaja tersebut harus menjaga sensitiviti masyarakat yang beragama Islam dengan tidak menjual barangan yang tidak halal.

PUSAT PERTEMUAN

Mathiew berkata tidak semua orang yang datang ke pasar itu untuk membeli sayur-sayuran tetapi menjadikannya sebagai pusat pertemuan di antara mereka.

"Pasar ini menjadi pusat pertemuan masyarakat Iban yang datang dari daerah-daerah lain seperti Mersing, Kluang, Pontian dan sebagainya," katanya.

Ini boleh mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat Iban yang tinggal di seluruh negeri Johor.

Menurut John, persatuan tersebut merancang untuk mengadakan pasar malam setiap hari Rabu di kawasan tersebut pada masa akan datang.

"Di sini kita akan menjual makanan yang telah siap dimasak seperti lauk pauk dan kuih-muih selain barangan lain yang boleh didapati di pasar malam," katanya.

Ini membuka peluang kepada ramai peniaga masyarakat Iban di sini.

-- BERNAMA